PETANG-PETANG MINUM KOPI, SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI





Thursday, 1 May 2014



PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA


1.   Pendekatan Holistik
Pendekatan ini baru sahaja diperkenalkan di Malaysia sebagai suatu pendekatan yang digunakan dalam mengajar membaca terutama membaca bahasa Melayu. Tujuan  pendekatan ini adalah untuk mengembangkan potensi individu dalam suasana pembelajaran yang lebih menyenangkan. Jadi pelajar diharapkan dapat menjadi dirinya sendiri.

Jadi teks yang boleh digunakan dalam bahan bacaan ialah teks autentik iaitu teks dalam bentuk penerbitannya yang sebenar. Pergantungan semata-mata pada buku teks di dalam kelas akan mengehadkan pembacaan terhadap bahan yang tidak lengkap dan telah diubahsuai dengan keperluan dan kepadatan ruang dalam buku teks tersebut. Jadi, guru haruslah menggunakan buku dalam bentuk penerbitan supaya pelajar dapat menghalusi pemikiran penulis lebih mendalam. Oleh itu, murid-murid bukan sahaja diajar untuk menguasai kemahiran membaca tetapi juga dapat  menikmati bahan bacaan tersebut.

   2.   Pendekatan Kolaboratif
Pendekatan ini merujuk kepada kumpulan besar yang belajar bersama-sama bagi mencapai suatu matlamat yang dikongsi bersama. jadi di mana kumpulan besar ini  terdiri daripada empat hingga lima orang pelajar.

Tujuannya adalah untuk memberi fokus pada aspek makna dari teks yang dicetak bagi konteks penguasaan membaca. Oleh itu, tumpuan ini dilakukan bagi membolehkan pelajar mengetahui makna ayat yang digunakan. Malah pelajar dikehendaki meneliti perkataan yang digunakan untuk meningkatkan penguasaan membaca. Walau bagaimanapun, penekanan juga turut diberikan kepada respons  yang ditunjukkan oleh pelajar. Maka perbincangan secara lisan diwujudkan bagi membolehkan pelajar mendapatkan maklumat dengan cepat secara kolaboratif.

Sebenarnya, Pendekatan ini memberi penekanan terhadap pemahaman literal dan pengecaman perkataan. Pada akhir pengajaran,  pelajar dapat memahami teks yang dibaca melalui pembacaan secara literal dan pengecaman teks yang memberikan makna keseluruhan ayat.                        

   3.   Pendekatan Teknologikal
Berdasarkan pendekatan ini,  unsur utama yang ditekankan ialah keupayaan menghasilkan pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa akan datang. Pendekatan ini juga menitikberatkan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera dan dibuktikan melalui kebenaran.

Jadi pendekatan ini turut merujuk kepada :
i.                    Sistem membaca berdasarkan objektif
ii.                  Program berdasarkan kriteria
iii.                Membaca berdasarkan kecekapan
iv.                Sistem pengurusan kemahiran
v.                  Membaca berdasarkan perspektif diagnostik

  4.    Pendekatan Pengajaran Membaca Asas
Pendekatan ini meliputi beberapa aktiviti yang melibatkan kemahiran membaca yang biasa. Aktiviti tersebut yang dilakukan melibatkan pelbagai situasi pembacaan seperti berlakon,  dialog,  mencari maklumat dan sebagainya. Tambahan pula, pendekatan asas membaca menekankan kesinambungan pengulangan serta mengulang kaji pembelajaran yang telah diajar sebelumnya. Jadi penambahan maklumat terhadap apa yang telah dipelajari meningkatkan lagi penguasaan kemahiran membaca murid.

Di samping itu, guru juga perlu memberi pendedahan tentang pola perbendaharaan kata dan ejaan kepada murid secara sistematik. Pengenalan perkataan serta elemen-elemen perkataan kepada murid perlu dikawal dari segi jumlah mengikut kesesuaian tahap kebolehan murid menguasai kemahiran membaca. Hal ini penting supaya murid dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik.


PENTAKSIRAN MEMBACA
Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang pelajar bacaan setelah mengalami proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran membaca, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu kemahiran membaca yang diajarkan oleh guru pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian yang boleh digunakan untuk mentafsir matlamat dan objektif pembelajaran bacaan. Jadi pada akhir pentaksiran ini pelajar akan dapat membezakan istilah mentaksir dengan menilai, menghuraikan konsep PBS kemahiran membaca, memberikan 3 justifikasi tentang kepentingan pentaksiran tak formal dalam pengajaran kemahiran membaca, dan memberikan contoh rekod kemajuan prestasi kemahiran membaca yang telah dilakukan di sekolah. Pentaksiran ini juga dibahagikan kepada empat iaitu pentaksiran berasaskan sekolah dalam bacaan, pentaksiran formal, pentaksiran tak  formal serta pentaksiran dan kad kemajuan.

Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS)
Dalam konteks Malaysia, PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru itu, menurut Azizi (2010) menghuraikan secara terperinci peranan guru dalam PBS ini. Tambah beliau lagi, dalam PBS ini peranan guru adalah untuk mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Jadi guru juga menentukan hasil pembelajaran yang hendak diajarkan dan ditaksir, merancang dan membina instrumen pentaksiran, melaksanakan pentaksiran, merekodkan hasil pentaksiran, menganalisis maklumat pentaksiran, melaporkan hasil pentaksiran dan membuat tindakan susulan.

Pentaksiran formal
Pentaksiran formal biasanya dilakukan secara bertulis seperti ujian, kuiz dan esei. Hasilnya murid akan diberikan markah dan gred. Di samping itu, pengurusan pentaksiran jenis ini lebih sistematik dan matlamatnya adalah untuk menilai kemajuan murid dalam satu-satu jangka masa pengajaran. Maka Pentaksiran jenis ini digolongkan dalam Ujian Rujukan Norma. Pengujian juga merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jadi disebabkan itu Ujian dikatakan  sebagai  alat ukur. Tambahan pula, ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran bacaan di sekolah, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat.

Pentaksiran tak formal
Pentaksiran tak formal biasanya berlaku secara lebih bersahaja. Pentaksiran tak formal penting dalam proses pembelajaran. Dalam pengajaran kemahiran membaca, pentaksiran tak formal dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang kemahiran, kebolehan dan perkembangan berterusan murid tentang pencapaian membaca mereka. Tambahan pula, tujuan  pentaksiran tak formal bertujuan membimbing murid mencapai kemahiran yang disasarkan. Melalui pentaksiran ini guru dapat mengenal pasti daerah-daerah kelemahan murid, memperbaiki kaedah pengajaran dan merancang program intervensi lebih awal untuk mengatasi masalah murid. Markah dan gred tidak dipentingkan dalam pentafsiran ini kerana tujuannya bukan untuk mengukur pencapaian murid. Oleh sebab itu, pentaksiran jenis ini kadang-kadang disebut juga sebagai penilaian formatif.  Justeru itu, pelaksanaan pentaksiran tak formal berlaku sepanjang masa pengajaran kemahiran membaca. Oleh sebab itu, melalui pentaksiran ini guru dapat mengikuti perkembangan pembelajaran murid.

Pentaksiran dan kad kemajuan
Setiap pentaksiran ini perlu direkodkan. Hal ini penting kerana rekod digunakan untuk memantau perkembangan prestasi murid. Jadi terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan oleh guru untuk membuat rekod pentaksiran ini. Oleh itu, dalam proses merekod guru hanya perlu mencatatkan jenis evidens yang digunakan untuk mentaksir prestasi murid kerana evidens kemungkinan lebih daripada satu jenis. Di samping itu, jenis evidens tersebut, guru dikehendaki mencatatkannya dalam kaedah penyimpanan evidens yang sistematik seperti direkodkan dalam kad kemajuan, lalu disimpan oleh guru atau dipulangkan kepada murid tersebut. Hal ini penting untuk rujukan dan semakan guru serta orang lain apabila diperlukan. Di samping itu, semua maklumat yang berkaitan dengan pentaksiran dan penilaian ini juga  perlu direkodkan secara sistematik. Hal ini kerana rekod yang kemas dan tersusun akan memudahkan guru menyemak, membuat pemulihan, pengayaan dan pelaporan kepada pihak-pihak tertentu. Oleh itu, pengurusan maklumat penilaian dan pentaksiran murid yang profesional juga perlu diamalkan.




No comments:

Post a Comment